PUTRAJAYA- Malaysia telah
melaksanakan program pendidikan kesihatan yang menyeluruh untuk memupuk amalan
penjagaan kesihatan berlandaskan pencegahan, serta meningkatkan kesedaran
tentang kepentingan mendapatkan rawatan perubatan awal.
Dalam kenyataan bersama yang
dikeluarkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan wakil
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Malaysia, Brunei dan Singapura Dr
Rabindra Abeyasinghe bersempena dengan Hari Kesihatan Sedunia hari ini, hak
kesihatan memerlukan gemblengan usaha bersama.
 “Kerajaan MADANI komited untuk bekerjasama
dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penggubal dasar, pembekal
penjagaan kesihatan, pertubuhan masyarakat sivil dan sektor swasta.
 “Dengan memperkaya setiap individu dengan ilmu
dan kemahiran untuk menguruskan kesihatan mereka secara proaktif, Malaysia
bukan sahaja dapat menangani kesenjangan (ketidakseimbangan) kesihatan sedia
ada, malah turut membina generasi akan datang yang lebih sihat,” menurut
kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut Malaysia
juga berusaha memperluas cakupan liputan kesihatan sejagat (UHC) dan
meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan.
 “Untuk mengelakkan keciciran, kita harus terus
melabur untuk mengembangkan UHC dan mengukuhkan sistem kesihatan.
 “Sebuah sistem yang mampan dan inklusif bukan
sahaja menjadi jaminan capaian penjagaan kesihatan yang saksama, malah
membolehkan setiap individu membuat keputusan termaklum tentang hal ehwal
kesihatan mereka. Hal ini dapat memupuk budaya pengurusan kesihatan yang proaktif,”
menurut kenyataan itu.
 Kenyataan itu menjelaskan hak kesihatan tidak
boleh dianggap sebagai keistimewaan yang eksklusif kerana ia merupakan suatu
hak asasi manusia yang memerlukan pengiktirafan dan penunaian oleh semua pihak.
Kesihatan bukan sekadar ketiadaan
penyakit, ia turut merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial, menurut
kenyataan itu, meskipun Malaysia menikmati banyak kemajuan yang ketara dalam
hal itu, masih terdapat jurang perbezaan dan rintangan yang perlu ditangani
demi merealisasikan hak kesihatan untuk semua.
 “Bagi menangani kesenjangan kesihatan dan
meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi darurat pada masa hadapan, hak
kesihatan perlu dimartabatkan secara bersama.
 “Walaupun pelaksanaan agenda pembaharuan yang
terkandung Kertas Putih Kesihatan menjadi kian sukar akibat pemulihan ekonomi
pascapandemik, usaha untuk meningkatkan penjagaan kesihatan sejagat dan
kesaksamaan kesihatan mampu sekiranya hak kesihatan dinobatkan sebagai teras
agenda kita,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu hak
kesihatan merangkumi empat unsur penting yang saling berkait iaitu
ketersediaan, kebolehcapaian, penerimaan dan mutu.
 Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang
ketara dalam penawaran penjagaan kesihatan secara sejagat berdasarkan
keempat-empat unsur itu, masih banyak yang perlu diikhtiarkan untuk membolehkan
rakyat menikmatinya secara saksama.
 “Sebagai contoh, Malaysia berjaya menangani
kesenjangan capaian penjagaan kesihatan melalui pembangunan infrastruktur
terutamanya di kawasan terpencil.
Di samping itu, Malaysia telah
mengagihkan peruntukan dalam bidang teleperubatan dan klinik kesihatan bergerak
untuk menyampaikan khidmat kepada penduduk yang sukar mendapat perkhidmatan
seperti di kawasan terpencil,” menurut kenyataan itu.
Usaha seperti itu berjaya
meningkatkan capaian dan mutu penjagaan kesihatan untuk masyarakat pedalaman
dan merapatkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. 
 
                                                                                   
    BERNAMA NEWS ONLINE